Tuesday, August 16, 2011

~T[a]WA[k]AL~

Bismillahirrahmanirrahim~

Ikuti 2 kisah berikut

  1. Suatu ketika Khalifah Umar bin al-Khattab menjumpai sekumpulan pemuda yang sedang melepak di pinggir jalan. "Siapa kamu dan apa yang kamu lakukan di sini?" tanya Umar kehairanan. "Kami ialah orang yang bertawakal kepada Allah," jawab mereka selamba. "Kamu berbohong. Kamu bukan orang yang bertawakal. Orang yang bertawakal ialah orang yang menanam benih kurma dan gandum," jelas khalifah.
  2. Pada waktu yang lain Khalifah Umar bin al-Khattab menghampiri beberapa orang yang selalu dilihat duduk menyerambi masjid. Umar bertanya, "Bagaimana kamu mencukupi keperluan hidup kamu?" Mereka menjawab, "Kami ini orang yang bertawakal." Umar menolak jawapan mereka seraya berkata, "Bukan, kamu ini tidak lain ialah orang yang berpeluk tubuh dan tidak mahu mencari rezeki. Kemudian kamu berdoa kepada Allah, 'Ya Allah, berilah aku rezeki.' Sebab kamu mengetahui bahawa langit itu tidak pernah menurunkan hujan emas ataupun perak."

TAWAKAL

Dalam perspektif Islam,tawakal bererti sikap berserah diri kepada Allah SWT, yang bersumber daripada kesedaran bahawa Allah SWT adalah Zat yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Maka tiada daya serta kekuatan semua makhluk kecuali milik Allah . Namun, tawakal kepada Allah tidak bererti penyerahan diri secara pasif, sebaliknya harus disertai oleh usaha.

Sebagaimana kisah di atas, Umar menyuruh agar tidak hanya sekadar berdoa dan berserah diri kepada Allah SWT, namun harus disertai dengan usaha, berikhtiar dan bekerja keras.

Rasulullah SAW menegur secara bijaksana terhadap orang Badwi yang memahami konsep tawakal hanya berserah saja kepada Allah SWT tanpa sebarang ikhtiar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik:

Suatu ketika seorang laki-laki datang berjumpa Rasulullah SAW sambil meninggalkan unta tunggangannya, seraya berkata, "Aku lepaskan untaku dan aku bertawakal." Maka Nabi menjawab, "Ikatlah untamu dan bertawakallah kau."

Jelas di sini tidak ada tawakal apabila tidak disertai dengan usaha. Namun, banyak kekeliruan terjadi dalam memahami hadis itu iaitu sering difahami bahawa tawakal itu dilakukan setelah usaha keras dilaksanankan.

Pemahaman ini memang bersumber daripada sejumlah dalil, antaranya ini. Pemahaman ini sebenarnya kurang tepat, kerana tawakal haruslah sentiasa menyertai diri seorang Muslim dalam semua tahap usaha; sebelum, ketika, sesudah dan selamanya.

Jadi, terdapat perbezaan dalam pengertian:

  1. BEKERJA lalu BERTAWAKAL - pengertian ini menjadikan tawakal itu hanya sebagai simbol tanpa memberikan bekas yang bererti terhadap jiwa orang yang tengah melakukan sesuatu pekerjaan, meskipun ia mengaku bertawakal.
  2. BERTAWAKAL lalu BEKERJA - pengertian ini pula mnejadikan tawakal itu sebagai landasan sehingga memberikan bekas yang sangat besar pada jiwa dan membersihkan kekuatan yang luar biasa yang akan mampu mengatasi kesulitan-kesulitan yang ditemui.

KEPENTINGAN SEMANGAT TAWAKAL

Semangat tawakal yang ada sebelum, ketika, dan setelah bekerja juga akan menghindarkan seseorang daripada menempuh jalan yang tidak diredhai oleh Allah SWT untuk mencapai tujuan. Ia yakin dengan tawakalnya. Allah akan membantu memberi jalan serta memudahkan urusannya. Allah berfirman yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupi keperluannya."
[Surah At-Talaq, 65:3]




[buku Indahnya Amalan Doa, Dato' Ismail Kamus]

No comments:

Post a Comment